Assalammualaikum.. Dengan limpah rahmatnya dapat hamba ini menulis dan menyebarkan sedikit ilmu yang ada untuk dikongsi.. Ilmu yang diperolehi melalui tazkirah dan juga majlis-majlis ilmu yang disertai. Segala puji bagi Allah tuhan yang mentadbir sekalian alam. Kau cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas Nabi Muhamad SAW, kaum keluarganya dan juga para sahabat..
Makhluk yang diciptakan di dunia yang dipanggil manusia, di lahirkan ke dunia dalam berbagai agama. Namun, apa yang ingin diperkatakan ialah berkaitan dengan mereka yang dilahirkan dalam agama Islam. Berapa ramai yang lahir dalam agama Islam memahami apa itu islam? Tapi yang pasti, yang lahir dalam agama Islam itu tahu apa itu Islam. Terdapat perbezaan antara tahu dengan faham..
Sebagai contoh, ramai yang tahu kenapa kita berwuduk? tapi berapa ramai yang faham kenapa kita perlu berwuduk sebelum solat? Kenapa kita basuh muka,tangan, kaki dan kepala? Kita perlu faham disebalik setiap perlakuan yang kita lakukan ketika berwudhuk. Apa hikmah membasuh muka, tangan, kepala dan kaki.. Maka kita akan faham kenapa kita melakukan yang sedemikian.. Sebagai contoh, kita membasuh muka bukan hanya kerana ia salah satu rukun atau tertib tetapi hikmah di sebalik membasuh muka itu adalah untuk menyucikan penglihatan kita yakni mata kita dari segala dosa yang kita lakukan. Kebersihan adalah sebahagian daripada iman dan dengan berwudhuk secara tidak langsung kita membersihkan diri kita dari segala kotoran jasad dan juga hati. Apabila kita mencapai kesempurnaan dalam wuduk, maka gugurlah dosa-dosa kecil kita, insyaAllah. Namun, kebersihan itu tadi tidak dibawa dalam kehidupan seharian kita. Di sinilah perbezaan antara memahami dengan mengetahui.Orang yang memahami Islam, akan mengamalkan kebersihan yang bermula dengan wudhuk tadi, ke dalam kehidupan sehariannya.
Kemudian kita solat, kenapa kita solat? mungkin ada yang jawab, kerana ayah saya solat, ayah saya marah kalau tidak solat, kerana macam-macam lagi. Hakikatnya, solat ini adalah cara kita untuk mengingati Allah. Kita peruntukkan tujuh atau 10 minit untuk betul-betul mengingati Allah SWT. Allah berfirman "waakimussolah lil zikri" maknanya "Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku". Kalau kita tidak solat, bagaimana kita dapat mengingati Allah. Solat merupakan kepala segala ibadah. Kita boleh jumpa orang tiada tangan dan kaki, tapi kita tidak boleh jumpa orang tiada kepala. Solat adalah amalan pertama yang akan ditanya di padang Mahsyar nanti. Kalau amalan yang pertama ni tiada, bagaimana nak lihat amalan yang lain-lain.. Wallahualam..
Apabila kita solat, rukun qauli (baca),rukun fi'li (perbuatan), rukun qalbi (rasa hati). Dalam solat, apabila kita meletakkan anggota paling mulia yakni dahi kita sujud di tempat yang di pijak-pijak tidak kira apa pangkat kita, betapa kayanya kita. Apabila kita sujud, bermakna kita melunturkan dan meleburkan keegoaan kita di depan Allah. Bila kita faham tindakan ini, kita tidak akan ego apabila di luar solat.
Contoh yang lain, apabila kita solat, kita membaca doa iftitah. Itu tanda aku janji bagi diri kita. Kerana maksud doa iftitah:
"Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku, adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari golongan orang Islam."
Sebab itu saidina Ali bila dia nak solat, dia takut dan menggigil. Sahabat bertanya, kenapa muka kamu pucat lesi wahai Ali? Aku nak bertemu dengan Allah, tadi waktu zohor aku telah berjanji sekarang waktu asar aku nak berjanji. Selama mana aku berpegang pada janjiku untuk hidup dan matiku kerana Allah s.w.t. Ini kerana saidina Ali memahami apa yang dia baca. Jadi kita yang membaca doa iftitah tanpa memahami maksudnya tidak akan merasa gementar atau takut.
Kebanyakkan orang, mereka mengamalkan agama Islam tanpa kefahaman. Jadi mana ada kekuatan atau keindahannya. Mereka tidak nampak bahawa Islam itu indah. Mereka melihat Islam itu serpih-serpih iaitu Islam bila berada di surau-surau, bila berada di masjid-masjid. Tutup aurat di tempat-tempat tertentu pada waktu-waktu tertentu. Mereka tidak nampak bahawa menutup aurat itu ialah pakaian bagi setiap Islam pada setiap masa. Ini yang paling tragedi, hanya mengetahui Islam. Umpama burung kakak tua yang diajar bercakap selamat pagi, dan pada waktu malam pun dia tetap bercakap selamat pagi. Ini kerana dia hanya tahu apa yang diajar tapi tidak faham apa yang dicakapkan. Kita perlu fahami Islam dari luaran hingga ke dalamnya. Jadi kita akan rasa Islam ini penting dalam kehidupan kita.
Tidak beriman jika tidak Islam, tidak Islam jika tidak beriman. Rukun Iman ada 6. Tetapi kita tidak tahu apa hubungkait atau significant yang Enam ini dalam kehidupan kita. Apa kesan percaya kepada yang ENAM ini dalam kehidupan kita. Keyakinan kepada rukun Iman membentuk pandangan hidup hingga sistem nilai dan cara kita berfikir, bertindak dan sebagainya. Dia hanya hafal dalam otak tapi dia tidak melihat kesannya dalam kehidupan.
Contoh lain, iaitu melontar jamrah. Orang yang pergi haji akan melontar jamrah iaitu melontar syaitan. Tapi bila balik ke Malaysia contohnya, bagaimana kita melontar syaitan yang sentiasa ada di sekeliling
kita?
Abu Jahal yang digelar "al-Hakam" tidak mahu mengucap syahadah kerana dia tahu dan faham tuntutan kalimah syahadah itu dan tanggungjawabnya. Kalau kata dia mengucap dua kalimah syahadah, kerana dia tahu illah dan sembahan kita hanya kepada Allah s.w.t. Dia menolak dengan faham, tapi kita menerima tanpa faham. Kita mengucap dua kalimah syahadah tapi kita tidak tahu tuntutannya, apa kehendak-kehendakNya, apa tanggungjawabNya.
Islam perlu diamal secara syumul, jangan pisah-pisahkan. Jangan pinta hidup yang mudah, tapi pinta hati yang tabah. Bermujahadah untuk mendapat hidayah Allah. Jangan jadi escapism. Kalau kita buat pun, dah tak dapat hidayah, nak buat macam mana? Allah s.w.t. minta kita berusaha dalam firmannya yang bermaksud: "barangsiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Allah, nescaya kami akan tunjukkan jalan kami (pimpinan kami)."
Langkah pertama ialah kita menempuh jalan untuk mendapat kefahaman tentang Islam dan hidayah Allah. Persoalan sama ada kita mendapat atau tidak, itu bukan hak kita, itu hak Allah s.w.t. Yakin selalu, bahawa Allah itu lebih baik daripada seorang ibu yang baik. Seorang ibu yang baik apabila anaknya meminta sesuatu, pasti dia akan cuba memberikan apa yang dipinta. Allah lebih-lebih lagi.
Semoga kita menjadi umat Islam yang tahu dan faham apa itu Islam. Janganlah kita menjadi orang yang tahu Islam sebagai adat ritual semata-mata. Orang yang merasa Islam dalam tiga perkara iaitu ketika lahir, ketika perkahwinan dan mati. Mudah-mudahan, kita mendapat rahmat dan berkat daripada Allah s.w.t dalam setiap nafas kita. Semoga kita mati nanti dalam keadaan Islam dan beriman.. InsyaAllah..
No comments:
Post a Comment