Welcome

Mencari KeredhaanNYA

Tuesday, December 20, 2011

Aku dan Isu Semasa





Assalammualaikum wbt.. Alhamdulillah, segala puji bg Allah, subhanAllah, maha suci Allah.. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam, Dia lah yang menciptakan langit dan bumi.. Dia lah yang menciptakan Manusia. Salam sejahtera ke atas junjungan Nabi Muhamad saw, kaum keluarganya dan juga para sahabat. Semoga kehidupan kita sebelum ini, hari ini dan juga hari akan datang sentiasa dalam rahmat dan keberkatan Allah swt. 

Rasulullah saw bersabda yang ertinya, "Sesungguhnya Islam pertama kali muncul dalam keadaaan asing dan nanti akan kembali asing sebagaimana semula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba')."(hadits shahih riwayat Muslim)



"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). (Mereka adalah) orang-orang shalih yang berada di tengah orang-orang yang berperangai buruk. Dan orang yang memusuhinya lebih ramai daripada yang mengikuti mereka."(hadits shahih riwayat Ahmad)

Jika direnung sabda Baginda saw dengan apa yang berlaku pada hari ini ternyata benar. Kerana Nabi Muhammad itu bersikap benar dan amanah. Apa tidaknya, jika kita membaca atau mendengar berita, di sana sini berlakunya kerosakan dan masalah. Mungkin setiap kita pernah mengucap, rasa takut, rasa tidak adil, rasa kejam dan sebagainya tatkala mendengar atau membaca berita yang di sampaikan. 

Bagaimana ini boleh berlaku di dalam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam? Bagaimana dikatakan majoriti, adakah berdasarkan angka kelahiran, kajian dilakukan pihak tertentu, agama yang dianuti pemerintahnya atau lain-lain?

Jenayah, gejala sosial, keruntuhan akhlak dan sebagainya banyak berlaku pada zaman serba canggih ini. Pada zaman yang dikatakan manusia bijak dan celik IT dan tinggi ketamadunannya. Tetapi, menyedihkan dan mengecewakan apabila kerosakan dan masalah yang timbul melibatkan pelaku dan mangsa yang beragama Islam. MasyaAllah.. Adakah Islam ini Agama yang mengajar umatnya membuat kerosakan? Adakah Islam agama yang suka berperang dan sebagainya? 


Mungkin ini tanggapan yang ada dalam mereka yang bukan beragama Islam. Berapa ramai yang mengaku mereka Islam, marah apabila mendengar penyataan sedemikian? Berapa ramai yang berusaha membetulkan penyataan tersebut? Berapa ramai yang mendoakan supaya mereka diberikan Hidayah dan petunjuk oleh Allah? 

Siapa atau apa yang perlu dipersalahkan? Adakah si pelaku kerosakan? Mangsa kerosakan? Agamanya? Ibu bapa? Masyarakat? Pemerintah? Ulamak? Guru? dan sebagainya? tapi, yang paling penting berapa ramai yang merasakan AKU yang bersalah? Ya.. AKU yang bersalah kerana membiarkan perkara tersebut berlaku. Bayangkan jika setiap AKU mempunyai perasaan dan faham akan tanggungjawab mereka, pasti perkara ini tidak berlaku atau kurang berlaku. Namun, keadaan kini adalah sebaliknya.. Ramai AKU yang mengambil sikap "aku..aku..engkau..engkau..", kebanyakkan AKU sibuk mencari harta kekayaan, kebanyakkan AKU tidak peduli "janji keluarga aku tidak ada yang terlibat", kebanyakkan AKU hanya simpati "kesiannya mangsa tu..Jahatnya orang itu".. Simpati tanpa perbuatan dan juga mendoakan kepada mereka yang terlibat agar diampunkan dan diberi taufik dan hidayah oleh ALLAH swt.

Bukankah AKU dilahirkan ke dunia sebagai khalifah? Bukankah AKU ini Islam dan bersaudara dengan saudara Islamku yang lain? Apa yang dimaksudkan dengan Khalifah atau wakil ALLAH? Apa yang dimaksudkan dengan bersaudara? Apa yang kita buat ketika ini ALLAH suka ke? Apa yang kita buat ini yang dituntut dalam Islam ke? Apakah yang kita buat hari ini adalah yang diajar oleh Rasulullah saw? atau, apa yang kita lakukan hari ini adalah keseluruhan atau suku daripada yang diajar dan disuruh? Jadi yang selebihnya siapa perlu lakukan? 

Bukankah AKU dituntut untuk berusaha seperti dalam firmannya:

"DAN janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (QS. An-Nisa’: 32)

Setiap AKU yang beragama Islam itu tahu (tetapi belum tentu faham) bahawa Islam adalah agama yang sempurna, agama yang suci, agama yang benar, agama yang indah dan syumul serta banyak lagi kebaikan dari Islam itu sendiri. Tapi... di mana kesempurnaan yang di maksudkan? Di mana kesucian yang dinyatakan? Apakah kebenaran yang dibawa umatnya pada masa kini seiring dengan kebenaran yang diajar oleh Rasulnya? Adakah Islam itu pada nama sahaja seperti yang semua AKU perkatakan dan persoalkan? Apakah negara Islam itu sebagai tulisan dalam buku dan laungan semata-mata? Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui niat dalam setiap AKU yang diciptakanNYA..


Hari ini, manusia menjadi hamba kepada harta, hamba kepada manusia, hamba kepada kenderaan dan hamba kepada segala macam benda yang mereka rasakan memberi kebahagiaan dan kesenangan kepada mereka. Sepatutnya, manusia menjadi hamba kepada Allah swt, manakala harta, kenderaan dan sebagainya menjadi hamba kepada manusia. Bukankah Allah telah berfirman:


"Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadat kepada-Ku." (QS. Adz-Dzariyat:56)


Ibadat? Adakah ibadat yang dimaksudkan itu semata-mata solat dan berzikir? Bukankah ibadat itu merangkumi segalanya yang dilakukan oleh AKU yang diciptakan oleh yang Maha Esa? Inilah yang terjadi hari ini apabila ada di antara AKU yang tahu (mungkin kurang faham) bahawa ibadat adalah mengenai solat,zikir dan sedekah sahaja. Keadaan ini juga sebenarnya menyebabkan berlakunya kerosakan di muka bumi kerana mereka memahami beribadat hanya bila mereka solat, berzikir dan menderma. Jadi bila mereka keluar dari masjid, keluar dari tempat-tempat suci atau majlis ilmu mereka tidak mengamalkan apa yang dituntut dalam Islam sedangkan apa-apa yang mereka lakukan kerana perintah Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah juga dianggap ibadat. Adakah pemahaman AKU pada masa kini menjadi Islam pada masa-masa tertentu, pada tempat-tempat tertentu bukan setiap masa dan setiap tempat?


Hidup itu jangan ditanya, tapi dijalani. Kehidupan harus dijalani. Hidup adalah ibadah. Maka ibadah harus dijalani. Ibadah perlu ada dalam kehidupan yang dijalani.

Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 37 yang bermaksud, “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan”


AKU bukan Ustaz, bukan Ulama', tetapi AKU hamba Allah. Allah menciptakan AKU sebagai wakilnya di alam dunia ini sebagai khalifah. Wujudkah AKU atau makhluk lain di dunia ini yang bukan diciptakan oleh Allah swt? Maka seharusnya apabila AKU sedar yang AKU diciptakan sebagai khalifah dan faham maksud serta tanggungjawab sebagai khalifah pasti AKU akan berusaha melaksanakan tanggungjawab yang diberi oleh Allah swt dengan bersungguh-sungguh seperti mana seorang pekerja bekerja bersungguh-sungguh apabila diberikan tugasan oleh bos atau majikan. Apabila berjaya melakukan tugasan atau menyelesaikan tugasan tersebut, maka dia akan dipuji dan diberi ganjaran berbentuk hadiah, wang tunai dan sebagainya. Inilah habuan yang pekerja dapat setelah pekerja tersebut berusaha. 


Kenapa AKU tidak mengaplikasikan sikap ini dalam melaksanakan tanggungjawab (tugasan) sebagai Khalifah (pekerja) kepada Allah (Bos/Majikan). Bersungguh-sungguh dalam melakukan perkara yang diperintahkan dan bersungguh-sungguh meninggalkan perkara yang dilarang. Pulangannya telah dinyatakan dalam Al-Quran malah sangat mahal hadiah dan juga bonus yang Dia beri kepada AKU. Malah habuan yang Dia berikan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak..


"AKU adalah Hamba ALLAH, yang diciptakan oleh Allah sebagai wakilnya(khalifah) di dunia ini..
AKU tidak memiliki apa-apa kecuali DOSA..."


Maafkan AKU.. Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat...

No comments:

Post a Comment