Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Ya Allah, limpahkanlah rahmat-Mu dan sejahterakanlah junjungan kami, Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat..
Ya Allah, Engkau mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana kasihkan-Mu, bertemu dan patuh pada-Mu, bersatu memikul dakwah-Mu, hati-hati ini telah berjanji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu, maka eratkanlah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan hati ini, tunjukkan ia jalan yang sebenar, dengan limpahan cahaya rabbani-Mu, yang tak pernah padam, lapangkan hati ini dengan iman..
Rasulullah saw pernah bersabda:
"sekiranya kamu melalui taman di antara taman syurga hendaklah kamu duduk menyertainya" tanya para sahabat apakah taman di antara taman syurga tersebut wahai Rasulullah SAW? jawab baginda majlis ilmu (majlis yang dalamnya ada peringatan kepada tuhan).
Namun, hari ini situasi sangat berbeza. Kita boleh lihat fenomena sekarang bilangan umat Islam yang hadir ke majlis ilmu adalah mendukacitakan. Surau-surau atau masjid kebanyakkannya lengang walaupun diadakan majlis ilmu. Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri mengatakan bahawa majlis ilmu adalah taman syurga. Untuk masuk ke syurga, pasti kita akan melalui taman-tamannya dahulu.
Ada sesetengah umat Islam hari ini, yang apabila mendengar majlis ilmu dia rasa nak meletup atau panas hati. Dia jadi tidak senang bila tahu ada majlis ilmu di surau atau masjid yang dia mahu menunaikan solat berjemaah. Macam-macam tanggapan dalam hatinya. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam hatinya.
Diriwayatkan daripada Hatim Al Asom (kurang bercakap) yang berguru dengan Sadiq Al Balqi r.a.
Pada satu hari, Tok Guru beliau bertanya kepadanya
"sejak bila kamu belajar dengan aku?"
Jawab Hatim, "sejak 33 tahun yang dulu",
kemudian bertanya lagi Tok gurunya "dalam tempoh tersebut apa yang kamu perolehi?"
Lalu anak muridnya menjawab " aku mendapat lapan (8) perkara selama aku belajar denganmu.
Tok gurunya terkejut mendengar jawapan anak muridnya. Namun dia minta dijelaskan apakah lapan(8) perkara tersebut.
(Hari ini anak kita, kita hantar ke sekolah untuk menuntut ilmu. Tetapi malangnya, kita terlalu mendidik mereka untuk mencari ilmu dunia semata-mata. Selama mereka menuntut ilmu, adakah mereka mengenal Islam? Berapa ramai ulamak yang mereka kenal berbanding artis? Kebanyakkan ibu bapa pada zaman sekarang bangga dengan kejayaan atau keputusan cemerlang yang diperolehi oleh anak mereka dalam peperiksaan, tetapi dari sudut Islamnya, mereka ambil mudah. Solat tidak di jaga, tudung tidak dipakai dengan sempurna atau langsung tidak bertudung. Kebanyakkan anak-anak kini yang bersekolah yang mereka dapat ialah bagaimana nak berhibur, di mana nak berhibur.)
Pertama: Aku melihat gelagat manusia apabila mereka cintakan sesuatu, mereka akan bersamanya atau berdamping dengannya. Namun percintaan tersebut terbatas apabila kekasihnya menemui ajal, maka aku menjadikan kebajikan sebagai kekasihku. Perkara kebajikan aku jadikan kawanku. Setiap hari aku fikir apakah kebajikan yang aku mahu buat kerana apabila aku mati aku pergi bersamanya.
Kedua: Aku memahami kalam Allah swt yang bermaksud "dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah dan mengekang hawa nafsunya, sesungguhnya sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya." Aku paksa diriku untuk tidak mengikut hawa nafsu, dan takut pada Allah swt.
Ketiga: Aku melihat apabila manusia mempunyai sesuatu yang berharga atau yang bernilai ia akan berusaha untuk menjaga dan menyimpannya. Lalu aku teringat akan firman Allah swt yang bermaksud " apa yang kamu miliki pasti akan binasa dan apa yang ada disisi Allah akan kekal abadi." Maka apabila ada sesuatu yang bernilai aku akan simpan dengan Allah supaya kekal bersama Allah swt.
Keempat: Aku melihat manusia suka berbangga dengan harta atau bincang tentang harta, pangkat dan keturunannya. Firman Allah swt bermaksud "sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang beriman dan bertaqwa di kalangan kamu." Maka aku tingkatkan iman dan taqwa aku setiap hari.
Kelima: Aku melihat manusia saling berhasad dengki lalu aku merenung akan firmanNya yang bermaksud "sesungguhnya tuhanmu mengagihkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakinya dan menentukannya."
Keenam: Aku melihat manusia itu menzalimi dan berbunuhan sesama mereka, maka aku merenung firman Allah bermaksud "susungguhnya syaitan itu musuh kamu, maka ambillah ia sebagai musuh yang sebenar."
Ketujuh: Aku melihat manusia setiap daripada mereka itu berdukacita dengan apa yang mereka tidak perolehi dan selalu menolak ketentuan Allah swt. Hal ini mengingatkan aku kepada firman Allah yang bermaksud "apa yang berlaku di atas muka bumi ini, Allah swt yang menentukan rezeki mereka.."
Kelapan: Aku melihat manusia bergatung nasib kepada makhluk lain, lalu aku teringat firman-Nya yang bermaksud "Bertawakallah kepada yang hidup dan tidak mati.."
MasyaAllah.. Lihatlah betapa jauhnya perbezaan antara zaman dahulu dan juga zaman sekarang dalam konteks mencari ilmu. Mereka mencari ilmu bukan sahaja untuk di dunia malah untuk dibawa bekal apabila bertemu Allah kelak. Berbeza pula pada masa kini, kebanyakkan mereka mencari ilmu kerana mahu mendapat kerja yang bagus dan harta yang banyak malah ada yang mahu menjadi ternama kerana ilmu..
Renung-renunglah setiap pemberian dari Allah swt.. Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali..
No comments:
Post a Comment